Naik Taraf Hospital Saratok Penting Perkukuh Perkhidmatan Kesihatan Luar Bandar
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memberi perhatian terhadap usaha memperkukuh kemudahan kesihatan luar bandar termasuk keperluan menaik taraf Hospital Saratok bagi memastikan rakyat menikmati akses perkhidmatan kesihatan yang lebih selesa, cekap dan berkualiti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, peningkatan jumlah pesakit luar dari tahun ke tahun membuktikan keperluan mendesak untuk memperkasa kapasiti Hospital Saratok yang kini berdepan tekanan dari segi ruang dan keupayaan perkhidmatan.
Menurut beliau, Hospital Saratok yang mula beroperasi sejak 1981 masih berstatus hospital tanpa pakar dan diklusterkan di bawah Hospital Sarikei, menyebabkan sebahagian pesakit perlu dirujuk ke hospital lain seperti di Sarikei, Sibu dan Kuching bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Jumlah pesakit luar menunjukkan peningkatan daripada lebih 44,000 orang pada tahun 2020 kepada sekitar 56,000 orang setahun, sekali gus membuktikan keperluan mendesak untuk menaik taraf kemudahan kesihatan di Saratok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak semasa Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kekangan ruang semakin ketara apabila Klinik Ibu dan Anak serta Klinik Pergigian masih beroperasi dalam premis hospital yang sama sehingga menjejaskan keselesaan pesakit dan kelancaran operasi petugas kesihatan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kedua-dua kemudahan tersebut dipindahkan ke premis berasingan sebagai langkah sementara selain mempercepatkan pembinaan Klinik Kesihatan Saratok jenis KK3.
Katanya, langkah berkenaan mampu membantu mengurangkan kesesakan di hospital serta membolehkan Hospital Saratok memberi tumpuan lebih khusus kepada rawatan pesakit dalam dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan.
“Dengan ruang kerja yang lebih kondusif dan pengagihan tugas yang lebih seimbang, perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dapat dipertingkatkan secara lebih berkesan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, tindakan segera perlu diambil memandangkan kemudahan kesihatan yang mencukupi merupakan keperluan asas rakyat khususnya di kawasan luar bandar seperti Saratok. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Eisner Nala
Foto: George S. Embie