Sarawak Utamakan Pemanfaatan Infrastruktur Sedia Ada
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memberi fokus kepada usaha memperkukuh dan mengoptimumkan penggunaan kemudahan sedia ada di Sarikei khususnya Dewan Suarah Sarikei yang dilihat berupaya memenuhi keperluan pelbagai program rasmi, aktiviti komuniti dan acara berskala tempatan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, walaupun pertumbuhan pesat sosial dan ekonomi Sarikei membuka potensi kepada pembangunan infrastruktur baharu, sebarang cadangan pembinaan pusat konvensyen perlu melalui penilaian teliti dari segi keperluan sebenar, skala yang bersesuaian serta kelestarian jangka panjang.
Menurut beliau, pendekatan berhemah dan berpandangan jauh amat penting bagi memastikan pelaburan yang dibuat memberi nilai tambah yang signifikan kepada komuniti setempat serta menyokong pembangunan berterusan kawasan tersebut.
“Pada masa ini, kerajaan memberi fokus untuk memperkukuh dan memaksimumkan penggunaan kemudahan sedia ada, khususnya Dewan Suarah Sarikei yang telah dilengkapi keupayaan untuk menganjurkan pelbagai program rasmi, aktiviti komuniti, acara kebudayaan, seminar dan perhimpunan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Dewan Suarah Sarikei mempunyai kapasiti sekitar 700 tempat duduk serta mampu menampung 55 meja bagi susun atur jamuan, menjadikannya antara kemudahan utama bagi penganjuran pelbagai acara di kawasan tersebut.
Rekod dari tahun 2023 hingga April 2026 menunjukkan sebanyak 90 tempahan telah direkodkan melibatkan kira-kira 98,267 pengunjung dan pengguna.
Daripada jumlah itu, hanya 36 acara atau 40 peratus menggunakan dewan utama, manakala selebihnya lebih tertumpu di kawasan parkir dan ruang lobi berikutan keperluan ruang terbuka bagi penganjuran acara seperti festival makanan, bazar dan program komuniti.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan, beliau menjelaskan bahawa untuk membida penganjuran acara perniagaan antarabangsa, sesebuah destinasi perlu mempunyai ekosistem lengkap dan berdaya saing.
“Antara keperluan utama termasuk kemudahan tempat mesyuarat yang mencukupi, jaringan penerbangan yang kukuh, penginapan hotel bertaraf antarabangsa, sistem pengangkutan dan logistik yang efisien, tenaga kerja mahir serta kepakaran industri dan sokongan profesional yang komprehensif,” jelasnya.
Tambah beliau, faktor paling kritikal adalah kesiapsiagaan ‘local host’ yang merangkumi kerjasama antara persatuan, agensi kerajaan, institusi akademik dan sektor swasta dalam menerajui bidaan serta penganjuran acara.
“Tanpa komitmen dan keupayaan ‘local host’ yang kukuh, sesebuah destinasi sukar diyakini oleh penganjur antarabangsa walaupun memiliki infrastruktur bertaraf dunia,” ujarnya. -EDISI UKAS