Kerajaan Sarawak Perkukuh Kesiapsiagaan Bencana, Tangani Cabaran Logistik Bantuan Banjir
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh kesiapsiagaan dan sistem penyampaian bantuan bencana bagi memastikan bantuan kepada mangsa banjir dapat disalurkan dengan lebih cepat, teratur dan berkesan meskipun berdepan cabaran logistik di beberapa kawasan terjejas.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, kekangan seperti laluan darat yang dinaiki air serta jumlah bot operasi yang terhad dikenal pasti antara faktor yang mempengaruhi kelancaran penghantaran bantuan ke kawasan terjejas banjir.
“Pada masa yang sama, jumlah bot operasi agensi yang terhad serta keutamaan penggunaannya bagi operasi menyelamat dan pemindahan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut memberi kesan kepada proses pengagihan bantuan termasuk penghantaran makanan bermasak ke PPS dan kawasan terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dan Daerah (JPBB/JPBD) sentiasa mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bantuan bencana di seluruh negeri.
Katanya, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Latih Amal dan Simulasi di Bahagian Sibu, Kuching dan Bintulu melibatkan pelbagai agensi di bawah JPBB dan JPBD.
“Melalui program ini, kempen pendaftaran awal maklumat mangsa ke dalam Sistem Info Bencana turut dijalankan bagi mempercepatkan proses pengurusan dan penyaluran bantuan semasa bencana berlaku.
“Program ini juga menjadi platform untuk menguji keberkesanan prosedur operasi standard (SOP), mengenal pasti kelemahan yang perlu ditambah baik serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi situasi kecemasan,” jelasnya.
Tambah Datuk Mohammad Razi, seramai 32 pembekal makanan dan keperluan asas telah dilantik di Bahagian Sibu pada tahun 2025 dan jumlah itu meningkat kepada 34 pembekal setakat April tahun ini bagi memperkukuh kesiapsiagaan bantuan bencana.
Selain itu, sebuah Mini Depoh Kontena turut ditempatkan di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Daerah Song berhampiran kawasan DUN Machan bagi membolehkan keperluan bantuan disimpan lebih hampir dengan kawasan berisiko.
“Selain memenuhi keperluan penduduk di Daerah Song, kelengkapan yang disimpan di Mini Depoh Kontena tersebut turut boleh digunakan bagi membantu mangsa yang terjejas di kawasan DUN Machan,” jelasnya lagi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas turut memaklumkan kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan kebajikan kepada mangsa banjir dan kemarau melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, mangsa banjir di PPS disediakan bantuan makanan sama ada bermasak atau bungkus dengan kadar RM50 seorang sehari selain bantuan kelengkapan asas seperti tikar, kelengkapan tidur dan hygiene kit.
Bagi mangsa yang terputus hubungan dan tidak berpindah ke PPS pula, bantuan makanan kering turut disalurkan dengan kadar tidak melebihi RM100 bagi seorang untuk tempoh seminggu.
“Pada musim kemarau pula, terdapat dua jenis bantuan air bersih yang disediakan iaitu Bantuan Air Tangki dan Bantuan Air Minuman Botol khusus kepada penduduk di kawasan yang tidak mendapat bekalan air bersih atau sumber air tercemar,” katanya. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Foto: Hazrin Sunaini