Kursus AI Perkasa Strategi Pemasaran Usahawan Serian
SERIAN: Seramai 25 peserta menyertai Kursus Asas Keusahawanan: Pemasaran Digital Berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) yang berlangsung selama dua hari di Dewan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian dari 12 hingga 13 Mei lalu.
Program anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dengan kerjasama Majlis Pembangunan Usahawan Bahagian (MPUB) Serian itu bertujuan memperkukuh pengetahuan serta kemahiran usahawan tempatan dalam memanfaatkan teknologi AI bagi mempertingkat strategi pemasaran digital.
Sepanjang kursus tersebut, peserta didedahkan kepada pelbagai aspek pemasaran digital termasuk strategi asas, trend semasa serta penggunaan aplikasi AI dalam menghasilkan kandungan pemasaran yang lebih kreatif dan berkesan.
Selain mempelajari teknik pemasaran menerusi platform media sosial, peserta turut dibimbing mengenai kaedah menganalisis keberkesanan strategi pemasaran bagi membantu meningkatkan capaian pelanggan serta hasil jualan perniagaan masing-masing.
Pendekatan latihan secara praktikal turut menjadi fokus utama apabila peserta diberi peluang melaksanakan latihan amali selepas setiap sesi pembelajaran bagi memastikan mereka bukan sahaja memahami teori, malah mampu mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari secara terus dalam perniagaan.
Penganjuran kursus berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh daya saing usahawan tempatan melalui pemanfaatan teknologi digital dan AI sejajar dengan perkembangan ekonomi semasa.
Dalam pada itu, MINTRED melalui inisiatif Sarawak Entrepreneur Development Coordination Committee (SEDCC) turut membangunkan platform Sarawak Entrepreneur Database System (ENBASE) bagi memudahkan rakyat mendapatkan maklumat berkaitan program pembangunan keusahawanan di seluruh Sarawak.
Platform tersebut diwujudkan untuk membantu orang ramai mengakses pelbagai program, latihan dan bantuan keusahawanan yang ditawarkan oleh agensi kerajaan negeri dan persekutuan secara lebih mudah serta tersusun. - EDISI UKAS