National Geographic Learning Sokong Agenda Pendidikan Hijau Sarawak
KUCHING: National Geographic Learning menyokong inisiatif kerajaan Sarawak dalam agenda pendidikan hijau dan kesedaran perubahan iklim.
Pengarah Kanan merangkap Ketua bagi Rantau Asia National Geographic Learning, Micheal Cahill berkata ia akan memberi fokus kepada pendidikan STEM, teknologi serta kelestarian alam sekitar di negeri ini.
Menurut beliau, mereka kini bekerjasama dengan para pendidik dan komuniti di seluruh Sarawak bagi meningkatkan kesedaran berkaitan perubahan iklim, kelestarian dan pendidikan hijau.
“Di National Geographic Learning, misi kami adalah membawa dunia ke dalam bilik darjah dan komuniti di seluruh Sarawak.
“Pada masa sama, kami juga mahu membawa Sarawak ke peringkat dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini pada Khamis.
Tambah beliau, pihaknya turut menjemput Premier Sarawak untuk mengunjungi ibu pejabat National Geographic Learning di Amerika Syarikat dan China bagi berkongsi kisah kejayaan Sarawak dalam mempromosikan kesedaran perubahan iklim dan kelestarian.
Sementara itu, Pengarah Urusan National Geographic Learning, Charles Shim berkata pihaknya telah melaksanakan program National Geographic Learning di sekolah-sekolah seluruh Sarawak sejak 2018 melibatkan peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.
Katanya, program tersebut memberi penekanan kepada STEM, teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
“Kunjungan hari ini adalah untuk memberi perkembangan kepada Premier Sarawak mengenai apa yang telah dilaksanakan serta potensi kerjasama bersama kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembelajaran STEM khususnya dalam bidang sains dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata Premier Sarawak turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam menjadikan Sarawak tempat yang lebih baik bagi generasi muda dan masa depan yang lebih lestari.
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ibanez Jeffery