MIRI: Kepelbagaian etnik dalam komuniti Dayak terus menjadi kekuatan utama dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat di Sarawak.
Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau berkata, walaupun masyarakat Dayak khususnya Orang Ulu terdiri daripada pelbagai subetnik seperti Bisaya, Kayan, Kenyah, Penan, Berawan dan Kajang, namun semuanya tetap hidup sebagai satu komuniti tanpa wujud sebarang benteng perbezaan.
“Keadaan itu menjadi keistimewaan masyarakat di Sarawak yang mampu hidup bersama dalam suasana saling menghormati walaupun mempunyai latar budaya dan identiti berbeza.
“Kita mungkin pelbagai bangsa dan pelbagai etnik, tetapi kita masih dapat hidup bersama-sama tanpa ada perbezaan atau rintangan antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan ‘Long Dance’ Baazar Gawai Dayak dan Ethnocultural Festival sempena sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri 2026 di Bandar Baru Permyjaya di sini, pada Rabu.
Tambah beliau, budaya setiap kaum kini bukan sahaja menjadi identiti masyarakat masing-masing, malah berperanan sebagai faktor penyatuan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
Katanya, masyarakat pelbagai etnik di Sarawak juga saling menghormati budaya antara satu sama lain termasuk tarian dan adat tradisional seperti joget, ngajat dan Long Dance.
Menurut beliau, pertandingan Long Dance yang diadakan turut berjaya menghimpunkan penyertaan masyarakat dari pelbagai kawasan kerana tarian tradisional itu dianggap sebagai lambang identiti dan kebanggaan komuniti Orang Ulu.
“Budaya inilah yang menjadi landasan untuk kita menyatupadukan masyarakat kita,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur serta Jawatankuasa Perayaan Gawai peringkat negeri kerana memastikan sambutan berkenaan bersifat inklusif dengan penglibatan semua etnik dalam komuniti Dayak.
Dalam pertandingan tersebut, Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak cawangan Belaga muncul juara, diikuti Persatuan Kayan Sarawak sebagai naib juara manakala Persatuan Masyarakat Saban Miri di tempat ketiga.
Pemenang membawa pulang hadiah wang tunai masing-masing berjumlah RM8,000, RM6,000 dan RM4,000 selain medal, trofi serta sijil penyertaan. - EDISI UKAS