Kelewatan Pelantikan KMKK Baleh Jejas Penyampaian Perkhidmatan Akar Umbi
KUCHING: Isu kelewatan pelantikan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) di kawasan pedalaman dikenal pasti sebagai antara cabaran utama yang boleh menjejaskan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai menegaskan, kekosongan jawatan tersebut bukan sahaja memperlahankan urusan pentadbiran harian, malah berpotensi menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan penduduk setempat.
Menurut beliau, KMKK memainkan peranan penting sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan, termasuk dalam urusan kebajikan, pengesahan dokumen serta pelaksanaan dasar di peringkat komuniti.
“Apabila pelantikan tertangguh terlalu lama, urusan seperti bantuan kebajikan, penyelarasan program kerajaan dan keputusan di peringkat kampung menjadi perlahan kerana tiada pemimpin sah yang boleh bertindak segera,” jelasnya ketika membahaskan ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 pada Khamis.
Beliau turut menegaskan bahawa kelewatan tersebut boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap ketelusan sistem pelantikan serta melemahkan keberkesanan penyampaian dasar kerajaan di peringkat akar umbi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menetapkan tempoh masa yang jelas bagi proses pelantikan, selain memperkenalkan garis panduan yang lebih telus dan mudah difahami oleh masyarakat.
“Langkah mempercepatkan proses tapisan calon melalui jawatankuasa khas di peringkat daerah atau bahagian juga perlu dipertimbangkan, termasuk pelantikan pemangku sementara bagi memastikan pentadbiran tidak terganggu,” katanya.
Mengakhiri perbahasan, beliau menzahirkan keyakinan bahawa dengan pelaksanaan dasar pembangunan yang inklusif dan menyeluruh, kawasan pedalaman seperti Baleh tidak akan tercicir daripada arus pembangunan negeri.-EDISI UKAS