Projek Jalan Raya, Jambatan Batang Rajang Pacu Pembangunan Luar Bandar Machan
KUCHING: Cadangan pelaksanaan beberapa projek jalan raya baharu dan pembinaan Jambatan Batang Rajang di kawasan Machan dan Kanowit diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan luar bandar serta meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong berkata, projek infrastruktur berkenaan amat penting bagi menyediakan akses yang lebih selamat dan efisien kepada penduduk yang masih bergantung kepada pengangkutan sungai.
“Pembinaan jalan bukan sahaja memudahkan pergerakan rakyat, malah menjadi talian hayat kepada penduduk luar bandar untuk meningkatkan produktiviti pertanian dan membuka peluang sosioekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak semasa Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Allan memaklumkan, antara projek yang dicadangkan ialah pembinaan jalan baharu dari Rumah Dian, Nanga Menalun ke Rumah Uchau, Nanga Penanggoh, Ulu Poi, Kanowit yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 1,440 penduduk rumah panjang serta sebuah sekolah rendah di kawasan terbabit.
Selain itu katanya, projek pembinaan jalan dari Sungai Machan ke Geremai melibatkan pembinaan jalan sepanjang 12 kilometer serta jambatan konkrit sepanjang 50 meter yang dijangka memperkukuh hubungan penduduk Ulu Machan dan Nanga Machan ke Pekan Kanowit.
Beliau turut membangkitkan cadangan pembinaan jalan baharu sepanjang empat kilometer dari Nanga Jerangku ke Rumah Panjang Lajang Ulu Machan bagi meningkatkan akses penduduk kepada kemudahan kesihatan, pendidikan dan aktiviti ekonomi.
Dalam pada itu, beliau berharap impian pembinaan Jambatan Batang Rajang Kanowit dapat direalisasikan kerana projek tersebut diyakini mampu menghubungkan Pekan Kanowit dan Ngemah secara lebih efisien serta mengurangkan kebergantungan terhadap perkhidmatan feri.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur strategik itu juga selaras dengan agenda pembangunan jangka panjang Sarawak yang menekankan keseimbangan pembangunan antara bandar dan luar bandar.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang