KUCHING: Pendekatan inklusiviti yang diamalkan Kerajaan Sarawak terus memperkukuh nilai perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini menerusi pengiktirafan serta sokongan kepada perayaan utama rakyat Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendekatan tersebut membolehkan bantuan dan sumbangan kerajaan disalurkan secara menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana pihak.
“Kebiasaannya, kita memberikan bantuan sumbangsih ini pada Hari Raya Aidilfitri dan pada tahun ini, kita panjangkan juga kepada masyarakat kita yang merayakan Tahun Baru Cina dan Hari Gawai.
“Ini adalah satu pendekatan inklusiviti kita di mana kerajaan mengiktiraf tiga perayaan tonggak ini khususnya unit beruniform yang bertugas pada hari perayaan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Hari Gawai 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini pada Khamis.
Sementara itu jelasnya, pemberian sumbangan seumpama itu bukan sahaja menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan, malah turut menyemarakkan lagi suasana harmoni dan kesejahteraan rakyat Sarawak.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak atas komitmen menyediakan pek makanan yang akan diagihkan kepada petugas beruniform sempena sambutan Hari Gawai nanti.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri serta Ketua-Ketua Jabatan. -EDISI UKAS