Petugas Barisan Hadapan Terima 11,900 Pek Sumbangsih Gawai
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan menerusi pengagihan sebanyak 11,900 pek makanan kepada 11 agensi unit beruniform sempena sambutan Gawai Dayak 2026.
Antara agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang menerima sumbangan tersebut ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Turut menerima manfaat ialah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, setiap pek makanan mengandungi enam jenis produk termasuk makanan sedia makan, kuih deram, kekacang, mi kolok serta minuman kopi dan teh tiga dalam satu.
“Kita berharap pek yang dikongsikan bersama anggota-anggota keselamatan dan badan beruniform semasa musim perayaan mencapai hasrat yang murni Kerajaan Sarawak.
“Pek Sumbangsih Tahun Baharu Cina, Sumbangsih Hari Raya Aidilfitri dan Sumbangsih Gawai juga diharap dapat menyemarakkan semangat untuk terus memberi khidmat bagi memastikan kedaulatan Sarawak, Sarawak selamat, aman, makmur dan damai,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Hari Gawai 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata jumlah keseluruhan pek makanan yang disediakan bagi ketiga-tiga program Sumbangsih tahun ini adalah sebanyak 35,700 pek. -EDISI UKAS