KCFC Cipta Sejarah Mara Final Piala Malaysia, Semangat ‘Ngap Sayot’ Kembali Menyala
KUCHING: Kejayaan pasukan Kuching City FC (KCFC) mara ke pentas akhir Piala Malaysia 2025/2026 buat kali pertama sejak penubuhan kelab pada tahun 2015 disifatkan sebagai detik bersejarah yang membuka lembaran baharu arena bola sepak Sarawak.
Presiden KCFC, Dato Fazzrudin Abdul Rahman menyifatkan pencapaian tersebut bukan sekadar kejayaan sebuah kelab, malah menjadi simbol kebangkitan semula bola sepak Sarawak di peringkat nasional.
Jelasnya, perjalanan KCFC menuju final bukan sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya hasil perancangan jangka panjang yang dibina secara berfasa sejak beberapa tahun lalu bermula pada era jurulatih Irfan Bakti sebelum diteruskan oleh pengendalinya kini, Aidil Sharin Sahak.
“Apabila kita sudah mara ke peringkat final, sekurang-kurangnya belia di setiap bahagian, peminat-peminat pemain bola sepak yang muda dapat melihat bahawa kita boleh melakukannya.
“Dan ada platform untuk kita mencapai ke peringkat yang tinggi dalam bola sepak di Sarawak,” katanya semasa menjadi tetamu program temubual Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS, di sini pada Khamis.
Menurut Dato Fazzrudin, kejayaan tersebut membuktikan bahawa pemain muda Sarawak kini mempunyai laluan serta inspirasi untuk melangkah lebih jauh dalam arena bola sepak profesional.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Premier turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, penaja serta paling penting, pemain ke-12 atau penyokong setia yang terus memberikan sokongan kepada KCFC sejak awal penubuhannya.
Katanya, sokongan padu penyokong yang sentiasa memenuhi stadium menjadi antara kekuatan utama pasukan sehingga berjaya mencipta sejarah mara ke final kejohanan berprestij yang menjadi idaman setiap pasukan bersaing dalam Liga Malaysia.
Untuk aksi final nanti, beliau sekali lagi menyeru penyokong khasnya warga Sarawak yang berada di Lembah Klang untuk turun beramai-ramai memberikan sokongan padu kepada pasukan.
Sementara itu, Aidil menyeru pemainnya untuk memberikan aksi terbaik di pentas final menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) demi penyokong dan seluruh rakyat Sarawak.
“Saya tidak mahu beri tekanan kepada semua pemain kerana peluang bermain final bukan selalu datang.
“Saya mahu mereka menikmati suasana ini, kerana keluarga, para penyokong dan pihak pengurusan sentiasa berada di belakang mereka,” ujarnya penuh semangat.
Menurut Aidil, pasukan kini memberi fokus penuh terhadap persiapan final dengan menitikberatkan aspek mentaliti pemain agar terus percaya dan berani bersaing dengan pasukan gergasi seperti JDT.
Perlawanan akhir Piala Malaysia antara KCFC dan JDT dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Mei ini.-EDISI UKAS