SEDC Laksana Inisiatif Berjumlah RM6 Juta Melibatkan 579 Usahawan Pada 2025
KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah melaksanakan pelbagai inisiatif kementerian dengan jumlah peruntukan RM6 juta yang memberi manfaat kepada 579 usahawan pada tahun 2025.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, inisiatif tersebut merangkumi 327 penerima geran Usahawan Teknikal dan Vokasional dengan nilai bantuan RM2.5 juta dan 218 penerima geran Graduan ke Arah Keusahawan dengan nilai bantuan RM1.9 juta.
“Ini juga termasuk 26 penerima Skim Kredit Mikro Sarawak dengan nilai bantuan RM660,000, dan lapan penerima Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana dengan nilai bantuan RM980,000.
“Selain itu, SEDC turut melaksanakan program pembiayaan kewangan di bawah Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri dengan peruntukan berjumlah RM8.4 juta kepada 65 usahawan pada tahun yang sama,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Tambah Datuk Dr Malcolm, pelaksanaan program ini turut memberi manfaat kepada 41 penerima dari Bahagian Sri Aman termasuk usahawan di Daerah Lingga.
Katanya lagi, berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, Sarawak merekodkan kadar penutupan yang rendah iaitu 3.2 peratus dan kadar lima tahun survival bagi enterprise yang ditubuhkan pada 2019.
“Bagi yang masih lagi beroperasi pada tahun 2024 adalah sebanyak 77.3 peratus. Ini menunjukkan bahawa inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak adalah berkesan,” ujarnya. -EDISI UKAS