11 Kawasan NCR Jepak Dilulus Ukur Perimeter, Lebih 2,900 Hektar Telah Diwartakan
KUCHING: Usaha Kerajaan Sarawak mempercepatkan pengukuran dan pewartaan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) terus menunjukkan kemajuan positif apabila sebanyak 11 kawasan tanah NCR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak melibatkan keluasan kira-kira 3,372 hektar atau 8,333 ekar telah diluluskan untuk pengukuran perimeter sehingga 30 April 2026.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, daripada jumlah tersebut, lapan kawasan berkeluasan 2,984 hektar atau 7,373 ekar telah selesai diukur dan diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
Menurut beliau, pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pengiktirafan hak tanah NCR serta mempercepatkan proses pemilikan tanah secara sah kepada rakyat.
Katanya, baki tiga kawasan lagi melibatkan keluasan 175 hektar atau 432 ekar di KM15 Jalan Ulu Sebauh (Area B, C dan D) masih belum dapat memulakan proses pengukuran.
Jelas beliau, keadaan itu berlaku berikutan Tuai Rumah serta penuntut tanah tidak hadir semasa sesi dialog meja bulat yang diadakan pada tahun 2012.
“Malah, tiada maklum balas diterima daripada penuntut tanah kawasan tersebut walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Bintulu termasuk menghubungi mereka melalui surat, panggilan telefon dan pesanan radio tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Jumaat.
Dalam usaha mempercepatkan lagi proses pengukuran tanah NCR, beliau berkata Kerajaan Sarawak turut menambah kapasiti Jabatan Tanah dan Survei dengan meluluskan pengambilan seramai 467 pegawai pelbagai kategori melibatkan tambahan perbelanjaan sebanyak RM30 juta setahun.
Selain itu, khidmat juruukur swasta turut digunakan bagi memperkukuhkan kapasiti pasukan ukur jabatan berkenaan.
Dalam masa sama katanya, Jabatan Tanah dan Survei sedang melaksanakan kajian dan penyelidikan bagi mengenal pasti kaedah serta teknologi pengukuran yang lebih efisien dan bersesuaian.
Pendekatan itu bertujuan mempercepatkan kerja pengukuran di lapangan tanpa menjejaskan ketepatan serta kualiti data yang diperoleh.
Menjawab soalan tambahan berhubung status tanah melibatkan penuntut asal yang telah meninggal dunia sebelum geran dikeluarkan, beliau menjelaskan surat hak milik tanah masih boleh dikeluarkan atas nama penuntut berkenaan.
Katanya, waris penuntut boleh menguruskan urusan pewarisan tanah tersebut melalui proses probet mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.-EDISI UKAS