Projek Baik Pulih Koridor Sungai Seblak Ditender Suku Ketiga Tahun Ini
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh usaha menangani hakisan tebing sungai dan ancaman kemasukan air masin di kawasan Kabong menerusi pelaksanaan Projek Baik Pulih Koridor Sungai Seblak yang dijangka ditender pada suku ketiga tahun ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben berkata, projek yang dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak itu akan dilaksanakan dalam dua fasa bagi meningkatkan perlindungan kawasan tebing sungai di Kampung Sungai Benang, Daerah Kabong, Betong.
Menurut beliau, fasa pertama projek melibatkan pembinaan struktur perlindungan tebing sungai menggunakan ‘rock revetment’ sepanjang kira-kira 425 meter.
“Fasa 2 pula melibatkan pembinaan struktur perlindungan tebing sungai menggunakan ‘rock revetment’ sepanjang kira-kira 535 meter,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Tambah beliau, DID Sarawak turut akan mengemukakan permohonan projek baharu di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi pelaksanaan fasa kedua projek tersebut.
Katanya, keseluruhan projek dianggarkan bernilai RM59 juta dengan pecahan RM38 juta bagi fasa pertama dan RM21 juta bagi fasa kedua.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Martin turut memaklumkan bahawa DID Sarawak telah dilantik sebagai agensi pelaksana bagi Projek Naik Taraf dan Penambahbaikan Ban Tanah di Skim Kabong Nyabor, Kabong, Bahagian Betong di bawah peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Menurut beliau, projek tersebut dijangka ditender pada suku kedua tahun 2026 tertakluk kepada kelulusan tapak.
“Projek ini bertujuan mencegah kemasukan air masin dari Sungai Seblak ke kawasan pertanian selain mengurangkan jarak perjalanan dari Pekan Kabong ke kawasan Sesang sejauh 6.8 kilometer,” jelasnya.
Selain itu katanya, DID Sarawak turut mengambil maklum mengenai kejadian ban pecah di Sungai Empayang dan akan menjalankan siasatan tapak sebelum melaksanakan kerja pembaikan sewajarnya.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini