145 Projek Diluluskan Di Engkilili, RM20.8 Juta Disalurkan Sejak 2024
KUCHING: Sebanyak 145 projek pembangunan telah diluluskan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili bagi tempoh 2024 hingga 2026 dengan peruntukan keseluruhan mencecah RM20.8 juta.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, daripada jumlah tersebut, hanya 37 projek telah siap dilaksanakan manakala selebihnya kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.
Menurut beliau, peruntukan itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan dana RM57.3 juta yang disalurkan kepada Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) sepanjang tempoh sama.
“Daripada RM57.3 juta yang diperuntukkan kepada MDLA, sebanyak RM20.8 juta disalurkan untuk DUN N.33 Engkilili.
“Daripada jumlah itu, RM7.5 juta diperuntukkan pada 2024, RM6.2 juta pada 2025 dan RM7.1 juta pada 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Tambah beliau, peruntukan berkenaan melibatkan pelbagai projek di bawah Rancangan Malaysia (RMK), Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), projek pembangunan wilayah di bawah Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) serta projek Persekutuan (BP.1).-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Hazrin Sunaini