Pelbagai Inisiatif Kerajaan Perkukuh Pendapatan Pekebun, Nelayan & Petani
KUCHING: Pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan pertanian, perikanan dan penternakan oleh Kerajaan Sarawak terus memberi impak positif dalam meningkatkan pendapatan serta kesejahteraan pekebun kecil, nelayan dan petani di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben berkata, pelbagai bantuan dan program yang dilaksanakan menerusi agensi berkaitan bukan sahaja memperkukuh produktiviti sektor agromakanan, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk luar bandar.
Menurut beliau, Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) telah membelanjakan RM1.12 juta sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi membangunkan sektor pertanian di kawasan tersebut.
“Inisiatif ini melibatkan seramai 136 pekebun kecil dengan keluasan kawasan pertanian 16.2 hektar selain pembinaan empat kilometer jalan ladang.
“Sepanjang pelaksanaan projek tersebut, sebanyak 29,000 tan metrik hasil pertanian berjaya dikeluarkan dengan nilai keseluruhan RM200,000,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Jumaat.
Tambah beliau, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut melaksanakan tiga strategi utama bagi memperkasakan pekebun kecil sawit melalui pengukuhan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM), pembangunan infrastruktur dan mekanisasi serta bantuan peningkatan kesejahteraan.
Katanya, antara indikator pencapaian yang digunakan ialah peningkatan hasil sawit melebihi 15.5 tan sehektar selain pematuhan pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dan amalan kelestarian menerusi Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC).
Dalam pada itu, beliau berkata Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) turut membangunkan Estet Kelapa Sawit Roban Utara di DUN Kalaka melibatkan kawasan seluas 6,633 hektar dan 1,791 peserta.
“Sehingga kini, jumlah Pembayaran Lebihan Bersih (NPP) yang diagihkan kepada peserta mencecah RM71.2 juta,” jelasnya.
Bagi sektor penternakan pula, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) menyediakan bantuan infrastruktur, sokongan teknikal serta program pembangunan bagi membantu meningkatkan produktiviti dan pendapatan penternak kecil.
Mengulas soalan tambahan berkaitan bantuan kepada penternak kecil untuk beralih kepada penternakan komersial, beliau berkata bantuan yang disediakan merangkumi baka ternakan, makanan ternakan, bahan binaan, latihan, khidmat nasihat teknikal serta akses kepada pembiayaan.
Sementara itu, bagi sektor perikanan di Betong, kerajaan turut menyediakan bantuan peralatan nelayan bernilai RM300,000 selain projek Agriculture Facilitation Fund (AFF) berjumlah RM355,000.
Katanya lagi, seramai 61 nelayan turut menerima elaun sara hidup RM250 sebulan dengan jumlah bayaran RM183,000 pada tahun 2025 dan RM45,750 bagi suku pertama tahun 2026.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa penilaian keberhasilan projek pembangunan Bahagian Tanaman di bawah RMK-13 akan dilaksanakan setiap enam bulan selama tiga tahun selepas projek siap bagi memastikan impak dan keberkesanan projek terus dipantau secara berterusan.-EDISI UKAS