Kerjasama Industri Dan Sekolah Perkasa Pendidikan STEM Luar Bandar
BINTULU: Kerjasama strategik antara pihak industri dan institusi pendidikan perlu terus diperkukuh bagi memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar.
Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sebauh, Frances Sherri Lia Jilan berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan pelajar di kawasan luar bandar tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi, inovasi dan ekonomi digital.
Menurut beliau, penganjuran Karnival STEM memberi peluang kepada pelajar meneroka kreativiti serta meningkatkan minat terhadap bidang sains dan teknologi sejak usia muda.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Pegawai Daerah Sebauh, Thaddeus Ling Bartholomew Allu sempena Majlis Penangguhan Karnival STEM Peringkat Daerah Tatau/Sebauh 2026 di SMK Sebauh, pada Khamis.
“Saya berharap suatu hari nanti akan lahir jurutera dan arkitek daripada anak kelahiran Sebauh sendiri dan saya percaya perkara itu tidak mustahil untuk dicapai,” katanya.
Tambah beliau, penglibatan aktif pihak industri bersama institusi pendidikan mampu membuka lebih banyak peluang pembelajaran serta pendedahan teknologi kepada pelajar luar bandar.
Dalam masa sama, Pengurus Besar Malaysia LNG Sdn. Bhd., Nazman Rusli berkata, pihaknya komited menyokong pembangunan pendidikan menerusi pelbagai inisiatif termasuk program Borneo Bestari.
Menurut beliau, program hasil kerjasama Petronas dan Yayasan Sarawak itu bertujuan membantu pelajar luar bandar melanjutkan pengajian di sekolah berprestasi tinggi di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.
“Kami berharap usaha ini mampu menggerakkan industri tenaga serta membawa perubahan positif kepada negeri ini,” katanya.
Karnival tersebut turut menampilkan beberapa pertandingan antaranya Water Rocket, Bridge Building dan Drone Challenge melibatkan penyertaan sekolah-sekolah sekitar Tatau dan Sebauh.
Bagi pertandingan Water Rocket, SK Kuala Muput muncul johan manakala SK Sungai Sebungan meraih tempat kedua.
Dalam pertandingan Bridge Building pula, SK Bukit Balai dinobatkan sebagai johan sementara SK Rumah Barrau muncul naib johan.
Bagi kategori Drone Challenge, SK Hermanus Assan berjaya merangkul gelaran johan manakala SK Nanga Tau menduduki tempat kedua.
Penganjuran Karnival STEM itu dilihat mampu memperkukuh budaya inovasi dan pembelajaran teknologi dalam kalangan pelajar luar bandar sekali gus menyokong agenda pembangunan modal insan Sarawak berteraskan ekonomi digital dan teknologi masa hadapan.-EDISI UKAS