Enam Projek Bernilai RM102.5 Juta Pacu Pembangunan Balingian
KUCHING: Sebanyak enam projek pembangunan bernilai RM102.5 juta di bawah kawasan Balingian kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan dan bakal menjadi pemangkin pembangunan kawasan tersebut.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, semua projek berkenaan diselaraskan oleh Rajang Delta Development Agency dan kini berstatus Dalam Perancangan (DPr).
Menurut beliau, tiga projek iaitu cadangan menaiktaraf Taman Tanjung Pedada Eco-Park, pembinaan dataran baharu di Tapak Pesta Bederun serta projek pemuliharaan tebingan sungai di Kampung Suyong sedang dalam proses pertapakan.
“Manakala dua lagi projek iaitu Taman Botanikal Balingian dan pembinaan Pusat Latihan Pertanian Balingian masih dalam proses penyediaan reka bentuk.
“Bagi Projek Cadangan Jalan SK Sungai Liuk/Kuala Balingian (Fasa 3) pula, ia kini berada dalam proses tender,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata RADDA akan melaksanakan pemantauan berkala bersama semua agensi terlibat bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan mengikut jadual.
Katanya, kerjasama erat antara majlis daerah, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pertanian, Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKRS), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Sarawak Rivers Board serta agensi berkaitan amat penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek.
“Kita juga mahu memastikan tiada berlaku ‘notice of changes’ yang boleh menyebabkan kelewatan kepada pelaksanaan sesuatu projek,” ujarnya.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Hazrin Sunaini