Projek Bekalan Air RM14.3 Juta Perkukuh Sistem Agihan Di Zon Merapok
LAWAS: Projek bekalan air bernilai RM14.3 juta di Zon Merapok dijangka memperkukuh sistem agihan air luar bandar sekali gus memberi manfaat kepada penduduk di beberapa kampung sekitar Ulu Merapok.
Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) Bahagian Limbang memaklumkan projek tersebut melibatkan kerja pembekalan, pemasangan, penyambungan, pengorekan, pengujian dan pentauliahan sistem bekalan air di bawah pakej (NR3, WO1) melibatkan pemasangan paip utama, pembinaan tangki aras tinggi (HLT), booster pump station serta penyambungan sistem bekalan air ke kawasan terlibat.
Jurutera JBALB Bahagian Limbang Ts Ahmad Hafidzur Rahman Ahmad Nidhom berkata, pelaksanaan projek tersebut merupakan antara usaha mempertingkat kemudahan asas serta memperkukuh sistem bekalan air luar bandar di kawasan berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat sempena Program Taklimat Bekalan Air Zon Merapok di Dewan Serbaguna Ulu Merapok, pada Khamis.
“Pelaksanaan projek ini diharap dapat membantu memperkukuh sistem bekalan air dan memberi kemudahan lebih baik kepada penduduk di kawasan terlibat,” katanya.
Dalam sesi tersebut, penduduk turut diberikan penerangan berkaitan prosedur permohonan meter air baharu termasuk dokumen diperlukan, anggaran kos pemasangan serta tanggungjawab pengguna selepas pemasangan meter.
Menurut Ahmad Hafidzur lagi, taklimat tersebut bertujuan memberi kefahaman kepada penduduk mengenai proses permohonan meter air selain pelaksanaan projek bekalan air yang sedang dijalankan di kawasan mereka.
“Melalui taklimat ini, penduduk diharap dapat memahami proses permohonan meter air serta mengetahui fungsi dan pelaksanaan projek bekalan air di kawasan mereka,” katanya lagi.
Pelaksanaan projek tersebut dilihat selari dengan usaha kerajaan memperkukuh pembangunan infrastruktur asas luar bandar bagi memastikan rakyat menikmati kemudahan bekalan air yang lebih sistematik, efisien dan berdaya tahan.-EDISI UKAS