Penubuhan Jawatankuasa Anti-Vandalisme Usaha Tangani Vandalisme
KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil langkah proaktif dalam menangani kegiatan vandalisme menerusi penubuhan Jawatankuasa Anti-Vandalisme.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut melibatkan pelbagai jabatan dan agensi yang berkaitan bagi menyelaras strategi pencegahan kegiatan vandalisme.
“Antaranya termasuk memperkukuh kerjasama dan penglibatan komuniti setempat melalui program kesedaran anti-vandalisme dengan menggalakkan masyarakat melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan di kemudahan utiliti dan telekomunikasi.
“Mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pelaku vandalisme ke atas kemudahan utiliti dan infrastruktur telekomunikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Datuk Liwan turut memaklumkan bahawa Operasi Bersepadu ‘Ops Lusuh’ dijalankan berkala di premis barang lusuh bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi penguatkuasa, utiliti dan telekomunikasi di seluruh Sarawak.
Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk menghubungi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu bagi melaporkan kes vandalisme.
“Selain itu, orang ramai juga boleh membuat aduan kepada syarikat penyedia perkhidmatan berkaitan melalui talian khidmat pelanggan, aplikasi mudah alih atau laman web rasmi syarikat tersebut,” katanya. -EDISI UKAS