Pendidikan Holistik Benteng Generasi Muda Hadapi Cabaran Sosial
SADONG JAYA: Pendekatan pendidikan holistik yang menyeimbangkan kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah perlu terus diperkukuh bagi melahirkan generasi muda yang berilmu, berakhlak serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran sosial semasa.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, penerapan nilai adab, akhlak dan kekuatan rohani dalam kalangan pelajar amat penting supaya mereka bukan sahaja mencapai kecemerlangan akademik, malah memiliki jati diri dan keperibadian yang tinggi.
Menurut beliau, program berteraskan pendidikan Islam seperti Mahrajan Al-Quran, Nasyid dan Khat mampu menjadi medium berkesan dalam membendung pengaruh negatif media sosial serta menangani isu disiplin termasuk budaya buli dan kurangnya rasa hormat terhadap ibu bapa serta guru.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Mahrajan Al-Quran, Nasyid dan Khat Sekolah-Sekolah Peringkat Bahagian Samarahan Tahun 2026, di sini pada Khamis.
Bertemakan ‘Adab dan Nilai Nadi Informasi Pendidikan’, program tersebut menghimpunkan lebih 100 peserta dari seluruh Bahagian Samarahan yang menyertai pelbagai acara kesenian dan pendidikan Islam termasuk tilawah, hafazan, nasyid dan seni khat.
Dalam pada itu, Rodiyah menyifatkan penganjuran program berkenaan sebagai platform penting dalam mencungkil serta mengembangkan bakat pelajar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk mewakili Bahagian Samarahan ke pertandingan peringkat negeri Sarawak.
Pada masa sama, beliau menggalakkan pelajar untuk merebut peluang pendidikan agama yang disediakan kerajaan negeri termasuk di Darul Hana Quranic Center di bawah Majlis Islam Sarawak bagi memperkukuh penguasaan dalam bidang al-Quran serta melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang di peringkat negeri dan kebangsaan. -EDISI UKAS