Mahrajan Samarahan Cungkil Bakat Generasi Quranik, Perkasa Sahsiah Murid
SADONG JAYA: Pembangunan sahsiah serta penggilapan bakat murid dalam bidang keagamaan terus diperkasakan menerusi penganjuran Mahrajan Al-Quran, Nasyid dan Khat Sekolah-Sekolah Peringkat Bahagian Samarahan Tahun 2026/1447H yang berlangsung meriah di Dewan Masjid Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yaakup, pada Khamis.
Program tersebut menyaksikan penyertaan sekolah rendah dan menengah dari seluruh Bahagian Samarahan yang bersaing dalam beberapa kategori utama termasuk Tilawah Al-Quran, Hafazan, Seni Khat dan Nasyid.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan dan komitmen para peserta sepanjang pertandingan berlangsung.
Dalam majlis tersebut, para pemenang menerima piala kemenangan serta sijil penyertaan sebagai pengiktirafan terhadap mutu persembahan yang dipamerkan.
Kesemua johan bagi setiap kategori bakal mewakili Bahagian Samarahan ke pertandingan peringkat negeri Sarawak dalam masa terdekat.
Bagi kategori Tilawah Al-Quran Sekolah Menengah, Nur Adlina Hamdan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pesantren Abdul Taib Mahmud muncul johan kategori perempuan, manakala kategori lelaki dimenangi oleh Umar Harith Abdul Hafizh dari SMK Muara Tuang.
SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud turut mengungguli kategori Hafazan Sekolah Menengah lelaki dan perempuan selain menjuarai kategori Nasyid Sekolah Menengah menerusi kumpulan An-Naseem.
Sementara itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Ibnu Khaldun mencuri tumpuan di peringkat sekolah rendah apabila menjuarai kategori Tilawah Al-Quran lelaki menerusi Abang Fathullah Abang Suhaili selain menyapu bersih gelaran johan kategori Seni Khat lelaki dan perempuan.
Pihak penganjur berharap kejayaan penganjuran mahrajan tersebut mampu menjadi pemangkin kepada murid untuk terus mendalami ilmu al-Quran dan kesenian Islam sekali gus melahirkan generasi yang seimbang dari sudut akademik, sahsiah dan kerohanian. -EDISI UKAS