Pembinaan Balai Polis Lachau Diluluskan Di Bawah RMK-12
KUCHING: Cadangan pembinaan Balai Polis Lachau di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Aman telah diluluskan dengan kos keseluruhan sebanyak RM40.7 juta.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek tersebut diluluskan di bawah Projek Sempadan (Sabah dan Sarawak) Kementerian Dalam Negeri menerusi Rolling Plan Kelima, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
"Tapak cadangan Balai Polis Lachau akan terletak di Lot 1252, Blok 12, Daerah Tanah Selanjan dengan keluasan 3.2 hektar di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan diperuntukkan bagi pembinaan bangunan pentadbiran serta kuarters kediaman," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Menurutnya, Jabatan Kerja Raya Sarawak telah dilantik sebagai agensi pelaksana bagi projek ini.
Jelasnya, skop projek melibatkan pembinaan bangunan pentadbiran, 14 unit kuarters Kelas F, dua unit kuarters Kelas E, pencawang elektrik, blok elektrik dan loji rawatan kumbahan.
Selain itu ujarnya, projek tersebut turut merangkumi pembinaan surau, menara tangki air dan rumah pam, kolam takungan, garaj kenderaan, pondok pengawal serta bunker pertahanan atau kubu pertahanan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini