Jalan Nanga Kumpang Ditenggelami Air, Pengguna Diminta Guna Laluan Alternatif
LUBOK ANTU: Hujan berterusan sejak semalam menyebabkan paras air di Jalan Nanga Kumpang meningkat sehingga 0.51 meter sekali gus mengakibatkan laluan tersebut tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Lubok Antu, Desem Samuel berkata, hasil pemantauan yang dijalankan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lubok Antu sekitar jam 9.20 pagi Jumaat mendapati air melimpahi permukaan jalan dengan arus yang deras.
Menurut beliau, keadaan itu meningkatkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya khususnya kenderaan ringan dan berat yang melalui kawasan berkenaan.
“Selain hujan berterusan, sistem perparitan yang tersumbat di kawasan tersebut turut dikenal pasti sebagai faktor yang menyumbang kepada kenaikan air,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan orang ramai menggunakan Jalan Sayat sebagai laluan alternatif untuk ke Engkilili atau Lubok Antu sehingga keadaan kembali pulih.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa APM Lubok Antu akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin.
Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa peka terhadap maklumat semasa yang dikeluarkan pihak berkuasa dan tidak mengambil risiko meredah kawasan yang dilimpahi air.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebarang kecemasan atau permohonan bantuan boleh disalurkan menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Lubok Antu di talian 083-584639. -EDISI UKAS