Pemulihan Infrastruktur Rosak Akibat Banjir Di Tebedu Perlu Disegerakan
KUCHING: Kerajaan diseru agar menyegerakan kerja pemulihan infrastruktur yang rosak akibat banjir dan cuaca buruk semasa Monsun Timur Laut yang melanda Sarawak sejak November tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, keadaan tersebut menyebabkan beberapa kampung terputus hubungan selain mengakibatkan kerosakan infrastruktur termasuk jalan raya runtuh, rumah dan paip pecah, tiang elektrik tumbang serta kerosakan harta benda penduduk akibat banjir.
Tambahnya, Kampung Krusen Siyu terputus hubungan selepas jambatan gantung di kawasan itu tumbang, manakala Kampung Krusen Keranji pula mengalami kejadian jalan runtuh.
"Saya menyeru agar pemulihan tebingan sungai yang runtuh, jalan yang runtuh dan jambatan gantung yang runtuh di Kampung Krusen Siyu dan Kampung Krusen Keranji dapat disegerakan supaya penduduk kedua-dua kampung tersebut dapat meneruskan aktiviti harian mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak semasa Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Selain itu, Kampung Tema Mawang, Kampung Tema Penggal, Kampung Tema Saan, Kampung Tubuh Behem, Kampung Tubih Sungai Ujan, Kampung Tebedu Mawang, Kampung Gahat Mawang, Kampung Daha Kisau, Kampung Daha Mawang dan Kampung Sungan turut mengalami banjir yang sangat teruk.
Dalam pada itu, Dr Simon memberitahu, masalah capaian internet yang lemah dan tidak konsisten di kawasan Tebedu terus menjadi kegusaran rakyat serta memerlukan penyelesaian segera daripada agensi berkaitan.
Ujarnya, keadaan tersebut menimbulkan tanda tanya dan keresahan dalam kalangan rakyat kerana ia menjejaskan akses kepada ekonomi digital, maklumat dan pendidikan tanpa sempadan.
"Walaupun terdapat usaha daripada pihak kerajaan melalui Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) yang kini giat melaksanakan projek SMART600, Multi Core Network dan Naik Taraf MySRBN di kawasan N21 Tebedu bagi meningkatkan ketersambungan rangkaian serta capaian internet, namun masalah tersebut masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau merayu agar agensi berkaitan terus berusaha mengenal pasti punca masalah dan mencari penyelesaian yang bersesuaian serta berpatutan demi kepentingan rakyat di kawasan berkenaan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini