Pelan Tindakan Lebih Produktif Diperlukan Percepat Proses Penyukatan Tanah
KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei diharapkan dapat menyediakan satu pelan tindakan yang lebih produktif, progresif, komprehensif dan tersusun untuk mempercepat proses penyukatan tanah di kawasan luar bandar khasnya di konstituensi Opar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang berkata, beberapa buah kampung dalam konstituensinya telah dibuat penyukatan tanah dibawah Program Dokumentasi Tanah melalui inisiatif Dayak Bidayuh National Association (DBNA) namun belum ada pengeluaran Surat Hakmilik Tanah.
Katanya, antara kampung yang terlibat adalah Kampung Judin, Kampung Stungkor Baru, dan Kampung Tebaro.
“Untuk penyukatan tanah yang dibuat oleh Jabatan Tanah dan Survei, beberapa kampung juga telah disukat seperti Kampung Temaga Dayak, Kampung Temaga Melayu, Kampung Sebako 1, Kampung Sebako 2, Kampung Sebigo Dayak, Kampung Selampit, Kampung Stenggang, Kampung Sepadah, Kampung Pidilam, Kampung Semapu dan Kampung Bitokan.
“Harapan saya agar Jabatan Tanah dan Survei menyediakan satu pelan tindakan yang lebih produktif, progresif, komprehensif dan tersusun untuk mempercepat proses penyukatan tanah di luar bandar ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, memandangkan konstituensi Opar terletak dalam kawasan luar bandar, banyak kawasan pertanian diusahakan oleh Government-Linked Companies (GLC) seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), FELCRA Berhad, LCDA-PJP Pelita dan pihak swasta iaitu Ladang Dafa untuk penanaman kelapa sawit.
Billy berkata ada di antaranya sudah tamat tempoh penanaman satu pusingan dan dalam perjanjian asal, pihak pemaju akan mengeluarkan Surat Hak Milik Tanah sebelum tamatnya pusingan yang pertama khususnya yang melibatkan SALCRA dan LCDA-PJP Pelita, di mana konsep penanaman adalah secara Joint Venture (JV).
Beliau turut membangkitkan bahawa walaupun sudah tamat satu pusingan penanaman iaitu 25 tahun bagi SALCRA dan 30 tahun bagi LCDA-PJP Pelita, namun surat Hak Milik Tanah yang dinantikan oleh pemilik masih belum dikeluarkan.
“Seramai 741 orang penduduk tempatan terlibat dengan Ladang LCDA-PJP Pelita di Kawasan Selampit dan Kendaie.
“Setelah tamat tempoh satu pusingan selama 30 tahun, apa yang diberikan oleh pihak LCDA-PJP Pelita hanyalah sekeping kertas berwarna biru iaitu Land Ownership Certification Letter (LOCL).
“Untuk SALCRA pula, bagi penanaman Fasa 1, pusingan pertama telah tamat pada tahun lepas. Yang menyedihkan, sehingga hari ini pemilik tanah belum menerima Surat Hak Milik Tanah kerana itu adalah hak mutlak mereka,” katanya.
Beliau juga berharap agar perkara ini dapat diatasi dengan kadar segera oleh agensi berkenaan. -EDISI UKAS