Penambahan Bantuan SKAS Bantu Kurangkan Kos Sara Hidup
SIBURAN: Penambahan bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) adalah untuk membantu rakyat negeri ini mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat masa kini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, matlamat utama pemberian bantuan ini adalah untuk membolehkan rakyat membeli keperluan asas termasuk barangan dapur.
“Kita berharap dengan adanya penambahan nilai ini, kita dapat meringankanlah sedikit bebanan masyarakat kita yang jumlahnya lebih kurang 800,000 penerima di seluruh Sarawak,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi walkabout SKAS 2026, di sini, pada Jumaat.
Sesi walkabout berkenaan bersempena dengan penyaluran fasa kedua SKAS 2026, di mana menurut Datuk Patinggi Abang Zohari kategori isi rumah menerima sebanyak RM424 manakala kategori warga emas dan bujang pula masing-masing menerima RM234 dan RM150.
Mengulas lanjut, Premier Sarawak menegaskan pihak kerajaan turut menyediakan bantuan lain termasuk pemberian diskaun khas sebanyak 25 peratus kepada bil elektrik untuk pengguna domestik, manakala diskaun sewaan premis sebanyak 50 peratus.
“Pemberian diskaun ini akan dibiayai oleh kerajaan di mana kerajaan akan menanggung kos tersebut, termasuk bagi elektrik,” ujar beliau lagi.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben dan Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin. -EDISI UKAS