Isu Pengukuran Tanah NCR Masih Perlu Perhatian Lebih Menyeluruh
KUCHING: Isu kelewatan pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan luar bandar dan pedalaman terus menjadi perhatian berikutan masih ramai penduduk yang menunggu proses pengukuran serta pengiktirafan rasmi tanah mereka diselesaikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh berkata, walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan tanah NCR, namun proses pengukuran di beberapa kawasan seperti Bau, Padawan dan Serian masih belum mencapai tahap yang diharapkan rakyat.
Menurutnya, ramai penduduk kampung masih menunggu bertahun-tahun untuk proses pengukuran diselesaikan walaupun permohonan telah lama dikemukakan.
“Ada kawasan yang telah dikenal pasti dan dipetakan secara awal, tetapi proses seterusnya mengambil masa terlalu panjang sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan pemilik tanah NCR,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 pada Jumaat.
Dalam pada itu, Dato Miro turut menarik perhatian mengenai pendekatan yang dilaksanakan oleh Dayak Bidayuh National Association (DBNA) menerusi inisiatif pengukuran awal dan pemasangan peg sempadan di beberapa kampung Bidayuh yang dilihat membantu mempercepatkan dokumentasi tanah.
Ujarnya, usaha tersebut boleh dijadikan asas untuk memudahkan tindakan lanjut oleh Jabatan Tanah dan Survei dalam proses pengukuran serta pemetaan rasmi.
Tegasnya lagi, kelewatan pengukuran tanah NCR ini memberi kesan besar kepada rakyat kerana tanpa geran atau pengiktirafan rasmi, penduduk berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman pertanian dan membangunkan tanah secara komersial.
“Rakyat bukan meminta sesuatu yang baharu, mereka hanya mahu hak yang diwarisi turun-temurun diberikan pengiktirafan sewajarnya secara cepat, adil dan telus,” jelasnya lanjut.-EDISI UKAS