Pembangunan ekonomi baharu transformasikan Sarawak sebagai peneraju masa depan
KUCHING: Sarawak diseru agar mempercepatkan agenda pembangunan ekonomi baharu berteraskan teknologi tinggi, tenaga hijau dan kedaulatan makanan bagi memastikan negeri ini terus berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan menyifatkan visi yang digariskan kerajaan negeri sebagai pelan berani dan berpandangan jauh dalam mentransformasikan Sarawak sebagai peneraju ekonomi masa depan.
Menurut beliau, pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) membuktikan Sarawak bukan lagi sekadar pemain biasa dalam ekonomi negara, sebaliknya sedang bergerak sebagai wilayah yang mampu memimpin sektor strategik seperti tenaga hijau dan aeroangkasa.
“Usaha ini menunjukkan Sarawak sedang membina identiti ekonomi baharu yang lebih moden, berteknologi tinggi dan berorientasikan masa depan,” katanya semasa membahaskan ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Jumaat.
Beliau turut memuji beberapa inisiatif utama kerajaan negeri termasuk penubuhan AirBorneo, pembangunan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART), pendidikan tinggi percuma dalam bidang strategik serta pembangunan luar bandar yang menurutnya mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Dalam perkembangan berkaitan, Azizul turut menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak sebagai langkah strategik ke arah memperkukuh kedaulatan makanan negeri.
Menurutnya, penubuhan lembaga itu memberi isyarat jelas bahawa Sarawak mahu mengurangkan kebergantungan terhadap beras import serta bergerak ke arah sistem pengurusan makanan yang lebih autonomi.
Beliau berkata, lembaga tersebut mampu menjadi pusat sehenti kepada pelabur dan petani selain menyelaras penyelidikan, pemasaran dan pengagihan hasil pertanian secara lebih sistematik.
Pada masa sama, beliau menyokong pendekatan penggunaan tanah kerajaan bagi mempercepat pembangunan kawasan jelapang padi melalui pelaksanaan sistem pengairan berskala besar serta pertanian mekanisasi tanpa dibelenggu isu pertikaian tanah NCR yang rumit.
Bagaimanapun, Azizul mengingatkan agar kerajaan turut mengambil kira kemungkinan pertindihan kuasa antara kerajaan negeri dan Persekutuan terutama melibatkan aspek subsidi serta lesen eksport pertanian supaya pelaksanaan dasar dapat berjalan lancar tanpa menjejaskan kepentingan petani.- EDISI UKAS