19 Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Angkat Sumpah Pelantikan Semula
KUCHING: Seramai 19 individu mengangkat sumpah pelantikan semula sebagai Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Jumaat.
Majlis angkat sumpah tersebut disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Mereka yang dilantik semula ialah Sarkawi Suhaili, Fridah Osman, Petrus Igat Mathias, Abdul Samat Kethergany, Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim, John Nyigor, Damen Rejek, Sayed Azmee Wan Junaidi, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Dominic Nyurang Ajang, Watson Awan Jalai, Afiq Fikri Brahim, Hajis Japar Labaw dan Collin Patan daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Turut mengangkat sumpah ialah Fung Kok Shiun dan Joshua Ting Fu Ying daripada Parti Demokratik Progresif (PDP), Susan Clement Ingun serta Thomas Balan Bang daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), selain Niponi Undek daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Turut hadir ialah Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr. Hazland Abang Hipni serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim, ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Telang Usan Dato Dennis Ngau serta dif kenamaan lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Muhammad Rais Sanusi