SACOFA Tulang Belakang Sarawak Tingkatkan Jaringan Internet Negeri
SIBURAN: SACOFA akan menjadi tulang belakang utama infrastruktur telekomunikasi negeri ini bagi meningkatkan capaian dan kelajuan internet khususnya di kawasan luar bandar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerajaan tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada syarikat penyedia telekomunikasi komersial untuk memperluaskan jaringan internet di kawasan yang mempunyai pasaran kecil tetapi memerlukan kos infrastruktur yang tinggi.
“Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada syarikat komersial buat masa ini sebaliknya, kerajaan akan menggunakan SACOFA sebagai tulang belakang rangkaian memandangkan syarikat itu dimiliki majoriti oleh kerajaan.
“Kos penambahbaikan infrastruktur juga akan ditanggung oleh kerajaan melalui SACOFA dan diharapkan langkah itu dapat meningkatkan kelajuan serta kualiti capaian internet,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi walkabout Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026, di sini, pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Patinggi Abang Zohari turut mendedahkan visi jangka panjang Sarawak untuk meneroka teknologi internet berasaskan satelit yang tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada gentian optik, sebaliknya akan beralih kepada sistem pengkomputeran awan dan penyimpanan data digital.
“Sebab itulah kita memerlukan satelit sendiri, termasuk nanosatelit yang ditempatkan di orbit.
“Kini, terdapat teknologi baharu yang membolehkan capaian internet di bumi disalurkan melalui ‘low earth orbit’ menggunakan cip baharu,” jelas beliau lagi.
Katanya, walaupun teknologi tersebut masih dalam peringkat pembangunan dan kajian, beliau optimis sasaran untuk merealisasikan ekosistem digital berasaskan satelit menjelang 2030 mampu dicapai. -EDISI UKAS