Town Hall Perkukuh Industri Seramik dan Kraf Sarawak
KUCHING: Industri seramik dan kraf Sarawak terus diperkasakan menerusi penganjuran program Town Hall on Ceramic & Pottery anjuran Sarawak Craft Council (SCC) di Hotel Telang Usan, Kuching yang menghimpunkan pemain industri, pengusaha kraf, usahawan kreatif serta wakil agensi berkaitan dalam membincangkan hala tuju dan pembangunan industri tersebut di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SCC, Charles Boas berkata industri seramik dan tembikar mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai salah satu cabang ekonomi kreatif dan pelancongan budaya di Sarawak.
Menurut beliau, produk kraftangan bukan sahaja melambangkan identiti budaya dan kreativiti masyarakat tempatan, malah mampu menjana pendapatan serta membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.
Beliau menjelaskan bahawa industri tersebut kini berdepan pelbagai cabaran termasuk persaingan pasaran, perubahan permintaan pengguna, peningkatan kos operasi serta keperluan kepada inovasi dan teknologi baharu.
“Program seperti town hall ini amat penting bagi membuka ruang perbincangan secara langsung antara pihak industri dan agensi berkaitan agar pelbagai isu serta cadangan penambahbaikan dapat dibincangkan bersama,” katanya semasa program itu pada Jumaat.
Tambah beliau lagi, SCC komited untuk terus menyokong pembangunan industri kraftangan di Sarawak melalui pelbagai inisiatif termasuk promosi, latihan, pembangunan kapasiti, jaringan pemasaran dan kerjasama strategik bersama pelbagai pihak.
Turut hadir sebagai panel jemputan ialah Presiden Sarawak Handicraft, Arts and Souvenir Association, Gerald Goh Teck Joo, yang berkongsi pandangan berkaitan cabaran semasa dihadapi pengusaha kraf termasuk aspek pemasaran, kos operasi serta keperluan memperluaskan akses pasaran digital.
Selain itu, Pengasas Ally Enterprise, Nabilah Abdullah, turut berkongsi pengalaman dan pendekatan keusahawanan dalam memperkasa produk tempatan agar lebih berdaya saing serta mampu menembusi pasaran yang lebih luas.
Sementara itu, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Mohd Fu’ad Ariffin, memberikan penerangan berkaitan sokongan agensi terhadap pembangunan industri kraftangan termasuk program latihan, bantuan pembangunan produk dan peluang promosi kepada usahawan tempatan.
Program tersebut dilihat berjaya menjadi medium perkongsian idea, pengalaman serta cadangan dalam memperkasakan industri seramik dan tembikar Sarawak agar terus berkembang sebagai salah satu sektor ekonomi kreatif yang berpotensi tinggi di negeri ini.-EDISI UKAS