Perluas Penggunaan Lampu Jalan LED, Sokong Agenda Pembangunan Hijau
KUCHING: Penggunaan lampu jalan LED dicadang diperluaskan di seluruh Sarawak bagi meningkatkan keselamatan awam serta menyokong agenda pembangunan bandar pintar dan kecekapan tenaga negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, pelaksanaan lampu jalan LED di kawasan Pujut menunjukkan hasil positif khususnya dari segi pencahayaan, keselamatan dan penjimatan tenaga.
Menurut beliau, kebanyakan lampu jalan konvensional di kawasan perumahan sekitar Pujut telah dinaik taraf kepada sistem LED menerusi inisiatif pembiayaan RTP.
“Kawasan perumahan kini menjadi lebih terang, sekali gus meningkatkan penglihatan dan tahap keselamatan penduduk terutama pada waktu malam,” katanya dalam perbahasan usul penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Beliau berkata penggunaan lampu LED turut membantu mengurangkan penggunaan tenaga elektrik sehingga kira-kira 50 peratus berbanding sistem lampu jalan konvensional.
Katanya, inisiatif tersebut bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup penduduk, malah menyokong komitmen kerajaan terhadap pembangunan mampan, kecekapan tenaga dan infrastruktur bandar pintar.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pelaksanaan sistem lampu jalan LED diperluaskan ke seluruh Miri dan seterusnya di seluruh Sarawak.
Menurut beliau, langkah tersebut mampu membantu pihak berkuasa tempatan dan penyedia utiliti mengurangkan kos operasi dalam jangka panjang selain memperkukuh agenda pembangunan hijau negeri.
Dalam masa sama, beliau turut menyatakan sokongan terhadap agenda pembangunan Sarawak berteraskan teknologi, ekonomi digital dan tenaga hijau di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Beliau menegaskan pembangunan infrastruktur pintar dan cekap tenaga perlu terus diperkasa bagi memastikan Sarawak kekal berdaya saing serta mampu menyediakan persekitaran bandar yang lebih selamat, moden dan lestari untuk rakyat.-EDISI UKAS