Sistem Perparitan Dan Mitigasi Banjir Perlu Dinaik Taraf
KUCHING: Usaha mitigasi banjir perlu diberi keutamaan dalam perancangan pembangunan infrastruktur susulan peningkatan risiko banjir serta kesan perubahan iklim yang semakin ketara khususnya di kawasan bandar.
Menegaskan perkara tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang yang menggesa agar sistem saliran sedia ada di beberapa kawasan bandar dinaik taraf bagi memastikan kapasiti pengaliran air dapat menampung peningkatan jumlah hujan dalam tempoh singkat.
Beliau berkata, langkah mitigasi banjir tidak lagi boleh dilihat sebagai penyelesaian jangka pendek semata-mata, sebaliknya perlu dirancang secara menyeluruh dan mampan.
“Mitigasi banjir perlu dijadikan antara fokus utama pembangunan infrastruktur kerana ia berkait rapat dengan keselamatan, kesejahteraan dan kelangsungan aktiviti harian rakyat,” katanya.
Dalam perbahasan usul penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Jumaat, beliau mengingatkan bahawa kejadian banjir kini semakin mencabar terutama ketika hujan lebat dan fenomena air pasang besar yang memberi kesan kepada penduduk di kawasan rendah serta pesisir bandar.
Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan supaya lebih banyak peruntukan disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi melaksanakan projek mitigasi banjir secara berfasa dan berkesan.
Antara langkah dicadangkan termasuk menaik taraf sistem perparitan, pembinaan kolam takungan banjir, kerja penyelenggaraan sungai serta pelaksanaan pelan adaptasi perubahan iklim jangka panjang.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur yang cekap dan berdaya tahan amat penting bagi memastikan Sarawak mampu mendepani cabaran perubahan iklim selain menyediakan persekitaran yang lebih selamat dan berkualiti kepada rakyat.-EDISI UKAS