Klinik Kesihatan Tanjong Bijat, Sri Aman Perlu Perhatian Segera
KUCHING: Klinik Kesihatan Tanjong Bijat, Sri Aman memerlukan perhatian segera bagi memastikan rakyat di kawasan itu menikmati akses perkhidmatan kesihatan yang lebih selesa, efisien dan berkualiti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Datuk Mong Dagang berkata, beberapa penambahbaikan diperlukan di klinik kesihatan berkenaan termasuk berkaitan sistem bekalan air, ruang parkir dan kemudahan ambulans bagi menyokong kelancaran penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat.
“Saya percaya rakyat di kawasan luar bandar juga berhak menikmati kemudahan kesihatan yang selesa, selamat dan berkualiti seperti masyarakat di bandar.
“Oleh itu, saya memohon agar pihak Kementerian berkenaan dapat mempertimbangkan peruntukan segera bagi menaiktaraf klinik ini termasuk membaiki bangunan, menyediakan ambulans, menaik taraf berek kakitangan serta menyelesaikan masalah utiliti dan keselamatan yang dihadapi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak semasa Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Menurut Datuk Mong, pihak pengurusan klinik telah mengemukakan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa serta kementerian berkaitan dan kini menantikan maklum balas lanjut.
Beliau turut berharap kementerian berkaitan dapat mempertimbangkan tindakan sewajarnya bagi membantu menyelesaikan isu yang dihadapi demi manfaat penduduk setempat.
Tambah beliau, Klinik Kesihatan Tanjong Bijat menyediakan perkhidmatan kepada penduduk melibatkan 67 rumah panjang di kawasan sekitar.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang