Bantuan SKAS 2026 Dinaikkan, Kerajaan Sarawak Salur RM680 Juta Untuk Rakyat
SIBURAN: Kerajaan Sarawak meningkatkan jumlah bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 dengan peruntukan keseluruhan mencecah RM680 juta bagi membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, peningkatan itu melibatkan tambahan RM50 juta berbanding peruntukan asal yang diumumkan sebelum ini.
Menurut beliau, kadar bantuan bagi kategori tertentu turut dinaikkan daripada RM940 kepada RM1,140 setahun sebagai usaha memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
“Objektif kita ialah supaya dapur rakyat sentiasa berasap. Mereka boleh membeli barang keperluan seperti beras, gula, minyak masak dan keperluan dapur lain melalui bantuan SKAS ini,” katanya ketika ditemui media semasa sesi walkabout dan live-run penyaluran SKAS 2026 Peringkat Kedua di Eastern Mall, Siburan pada Jumaat.
Penyaluran kedua SKAS yang bermula hari ini melibatkan 857,814 penerima sedia ada serta tambahan 17,064 penerima baharu yang dikenal pasti menerusi senarai penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 Tahun 2026.
Selain itu, pasangan kepada Ketua Isi Rumah bukan Anak Sarawak turut layak menerima bantuan sekiranya suami atau isteri mereka merupakan Anak Sarawak berstatus “K”.
Dengan penambahan tersebut, jumlah keseluruhan penerima SKAS kini meningkat kepada 874,878 orang di seluruh Sarawak.
Bagi penerima sedia ada, kadar bantuan baharu yang disalurkan ialah RM424 bagi kategori isi rumah, RM234 bagi warga emas tanpa pasangan dan RM150 bagi kategori bujang.
Sementara itu, penerima baharu akan menerima bantuan Peringkat Pertama dan Kedua secara sekali gus melibatkan RM740 bagi kategori isi rumah, RM400 bagi warga emas tanpa pasangan dan RM250 bagi kategori bujang.
Dalam pada itu, Premier Sarawak berkata kerajaan negeri turut melaksanakan beberapa inisiatif tambahan bagi mengurangkan beban rakyat termasuk diskaun 25 peratus tarif elektrik kepada seluruh rakyat tanpa mengira kategori.
Selain itu, peniaga yang menyewa premis milik kerajaan tempatan dan bangunan kerajaan negeri turut menikmati diskaun sewaan sebanyak 50 peratus.
Beliau berharap para peniaga dapat bersama-sama membantu kerajaan dengan mengekalkan harga barang dan perkhidmatan pada kadar berpatutan demi kesejahteraan rakyat.- EDISI UKAS