Penganjuran Miss Tourism Sarawak Platform Perkukuh Promosi Pelancongan
KUCHING: Penganjuran pertandingan Miss Tourism Sarawak bukan sekadar platform pencarian ratu cantik, sebaliknya turut berperanan memperkukuh promosi pelancongan serta industri kreatif negeri ini ke peringkat lebih tinggi.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Datuk Snowdan Lawan berkata program seumpama itu mampu menjadi medium strategik dalam mengetengahkan keunikan budaya, warisan serta produk pelancongan Sarawak kepada dunia luar.
"Penglibatan peserta dari pelbagai latar belakang turut membantu mempromosikan kepelbagaian etnik dan identiti Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan nilai budaya," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Miss Tourism Sarawak yang berlangsung di The Spring Mall, di sini, pada Isnin.
Dalam majlis sama, turut diadakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MTCP dan semua rakan strategik sepanjang penganjuran Miss Tourism Sarawak sebagai langkah memperkukuh kerjasama strategik dalam mempromosikan industri pelancongan dan ekonomi kreatif negeri.
Tambah Datuk Snowdan, kerjasama tersebut dijangka membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan untuk terlibat dalam sektor pelancongan, seni persembahan dan industri kreatif, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Program seperti ini katanya juga selaras dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk menjadikan sektor pelancongan sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi, di samping memperkasakan identiti negeri di persada antarabangsa.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Eisner Nala
Foto: George S. Embie