Prestasi Kontinjen Lain Meningkat, Sarawak Akui Cabaran Pertahan Kejuaraan
SELANGOR: Misi Sarawak untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan pada Para SUKMA Selangor 2026 berdepan cabaran lebih sengit apabila kontinjen lain turut menunjukkan peningkatan prestasi, sekali gus menjadikan persaingan merebut kejuaraan kali ini semakin terbuka.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, peningkatan prestasi yang dipamerkan kontinjen lain perlu diberi perhatian serius oleh atlet Sarawak yang masih berjuang dalam pelbagai acara.
Menurutnya, kejayaan Sarawak pada temasya kali ini tidak boleh dianggap mudah biarpun kontinjen berkenaan hadir dengan status juara bertahan.
“Kita menghadapi cabaran besar kali ini untuk mempertahankan kejuaraan kita kerana kontinjen lain juga telah menunjukkan prestasi yang meningkat dan ini menjadi cabaran kepada kita,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan pingat acara Para Angkat Berat Kategori 65 kilogram, di sini pada Isnin.
Sehubungan itu, Dato Sri Fatimah menyeru seluruh atlet Sarawak supaya tidak terkesan dengan tekanan persaingan, sebaliknya mengekalkan keyakinan dan semangat juang setiap kali turun ke gelanggang.
Katanya, setiap atlet perlu percaya kepada kemampuan diri dan tidak mengalah sebelum pertandingan bermula.
“Saya beritahu kepada atlet, ‘Agi Idup, Agi Ngelaban’ kerana anak Sarawak ini tidak boleh mengalah sebelum masuk ke gelanggang.
“Mesti tinggi semangat dan mesti yakin diri untuk mendapat kemenangan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata prestasi positif skuad para angkat berat Sarawak yang sudah mengumpul tiga daripada lima emas yang disasarkan turut diharap menjadi pencetus semangat kepada atlet dalam acara lain.
Menurutnya, saingan berkenaan akan melabuhkan tirai esok dengan Sarawak masih berpeluang menambah dua lagi emas bagi melengkapkan sasaran yang ditetapkan.
Beliau menegaskan kemenangan dalam satu-satu acara perlu dilihat sebagai momentum bersama untuk membantu Sarawak menghadapi baki saingan, terutama ketika setiap pingat semakin penting dalam usaha mempertahankan kejuaraan keseluruhan. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi