Johannes Hadiahkan Emas Para SUKMA Buat Arwah Azlan Mos
SELANGOR: Bukan sekadar emas kedua di pentas Para SUKMA, kejayaan Johannes Gabriel Chew kali ini membawa makna lebih mendalam apabila atlet para angkat berat Sarawak itu mendedikasikan kemenangannya kepada arwah Azlan Mos, bekas atlet Bumi Kenyalang yang pernah menggalas cabaran dalam kategori sama.
Johannes, 19, mengungguli kategori sehingga 65 kilogram (kg) selepas mencatat angkatan terbaik 135kg pada percubaan ketiganya dalam saingan Para SUKMA Selangor 2026.
Namun di sebalik kejayaan tersebut, Johannes berkata pingat emas itu mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana turut dipersembahkan kepada arwah Azlan yang pernah membawa cabaran Sarawak dalam kategori 65kg.
“Emas hari ini saya dedikasikan untuk keluarga saya, barisan jurulatih, pasukan saya dan rakan sepasukan lama kami, iaitu arwah Azlan.
“Arwah pernah memegang kategori ini. Jadi emas ini untuk Azlan juga, Azlan Mos,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat bagi acara berkenaan, di sini pada Isnin.
Hadir menyempurnakan majlis penyampaian pingat ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Berdasarkan keputusan rasmi pertandingan, Johannes mempamerkan aksi konsisten menerusi tiga percubaan dengan angkatan 125kg, 130kg dan 135kg untuk memastikan kedudukan teratas menjadi miliknya.
Kemenangan itu juga menyaksikan Johannes meraih pingat emas keduanya sepanjang penyertaan dalam Para SUKMA.
Menariknya, Johannes tidak meletakkan sasaran untuk memecahkan rekod dalam temasya kali ini, sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap misi mengamankan pingat emas buat Sarawak.
“Saya bangga kerana mendapat emas hari ini dan yang ini merupakan emas kedua saya di Para SUKMA.
“Memang tidak ada sasaran untuk pecahkan rekod kerana lebih kepada ingin mendaparkan emas saha dan buat angkatan terbaik,” katanya lagi.
Dengan rekod peribadi 140kg sebelum ini, Johannes melihat kejayaan di Selangor sebagai pencetus semangat untuk terus meningkatkan kemampuan dan mencatat angkatan lebih baik pada masa akan datang.-EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi