Empat ‘Serangkai’ Sarawak Raih Emas Dalam Acara Renang Relay
SELANGOR: Empat perenang Sarawak, Fraidden Dawan, Rusdianto Rusmadi, Galang Jabai dan Mully Andriano menghadiahkan penamat penuh gemilang pada hari pembukaan acara renang Para SUKMA XXII Selangor 2026 apabila menjuarai acara 4x100 meter Medley Lelaki.
Kuartet Sarawak mencatat masa 5:32.92 saat untuk mengungguli saingan di Pusat Akuatik Selangor, sekali gus menafikan cabaran Sabah yang terpaksa berpuas hati dengan perak menerusi catatan 5:35.44 saat, manakala Selangor meraih gangsa dengan 6:12.09 saat.
Lebih manis, kejayaan tersebut hadir pada hari yang turut menyaksikan Rusdianto mencuri tumpuan menerusi persembahan cemerlang dalam acara individu.
Perenang itu terlebih dahulu menakluki acara 400m Gaya Bebas Lelaki S8 dengan catatan 5:20.93 saat, bukan sahaja membawa pulang emas malah memperbaharui rekod temasya.
Prestasi Rusdianto menjadi antara detik penting kempen pembukaan Sarawak di kolam renang, sebelum rakan sepasukannya turut menyumbang pingat dalam acara masing-masing.
Galang meraih perak dalam acara 50m Gaya Bebas Lelaki S7 selepas merekodkan 35.89 saat, manakala Rapelson Richard Hamit menambah satu lagi gangsa dengan catatan 51.31 saat.
Fraidden pula melengkapkan kutipan pingat individu apabila meraih perak dalam acara 100m Kuak Dada Lelaki SB9 menerusi masa 1:28.79 saat. -EDISI UKAS