Lebih 3,000 Sertai Perarakan ‘Niti Daun’ Sempena Gawai Dayak Bintulu
BINTULU: Program ‘Niti Daun’ sempena Sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Daerah Bintulu 2026 berjaya menarik penyertaan lebih 3,000 peserta di Bintulu Esplanade, pada Sabtu.
Program kali ini menghimpunkan 73 pasukan berdaftar selain penyertaan orang ramai daripada pelbagai latar belakang termasuk agensi kerajaan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK) rumah panjang, kelab, persatuan serta pelajar.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Datuk Majang Renggi berkata, sambutan luar biasa yang diterima membuktikan program berteraskan budaya dan riadah itu mendapat sokongan masyarakat.
“Program ‘Niti Daun’ ini pertama kali dianjurkan hasil kerjasama dengan Pejabat Daerah dan agensi-agensi kerajaan.
“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk jabatan kerajaan, JKK rumah panjang, kelab, persatuan serta pelajar di Bintulu,” katanya selepas mengetuai perarakan program tersebut.
Menurutnya, program tersebut akan diteruskan sebagai acara tahunan susulan sambutan positif yang diterima daripada masyarakat setempat.
Selain aktiviti berjalan kaki, program turut dimeriahkan dengan persembahan gendang pampat, upacara miring dan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Turut serta, Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti dan Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali.- EDISI UKAS