123 Pelajar Cemerlang SPM 2025 Parlimen Tanjung Manis Terima Insentif
SARIKEI: Seramai 123 pelajar cemerlang di kawasan Parlimen Tanjung Manis menerima insentif keseluruhan berjumlah RM61,500 sebagai penghargaan atas pencapaian mereka dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya sekali gus mencerminkan perkembangan positif dalam pencapaian akademik pelajar di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, pencapaian tersebut membuktikan pelajar luar bandar juga mampu bersaing dengan pelajar di bandar apabila diberikan dorongan sewajarnya.
Menurutnya, antara usaha yang dilaksanakan ialah pemberian insentif kecemerlangan sebanyak RM500 kepada setiap pelajar yang memperoleh keputusan 5A dan ke atas.
“Inisiatif ini bukan bertujuan menjadikan sesiapa kaya, tetapi sebagai simbol penghargaan atas usaha dan pengorbanan pelajar sepanjang tempoh persekolahan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Pelajar Cemerlang SPM 2025 di Dewan Serbaguna Kampung Seberang, di sini, pada Sabtu.
Dato Ir Yusuf menambah, penghargaan tersebut diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik pada masa hadapan.
Menurutnya, kerajaan dan pemimpin setempat akan terus komited menyokong agenda pendidikan demi melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang di kawasan Tanjung Manis.-EDISI UKAS