Sokongan Kepada Bakat Muda Penting, Tunjang Masa Depan Sarawak
KUCHING: Sokongan dan pelaburan terhadap golongan belia serta bakat muda amat penting dalam menentukan masa depan Sarawak sebagai sebuah wilayah maju, kreatif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, pembangunan Sarawak bukan hanya tertumpu kepada infrastruktur fizikal semata-mata, malah turut melibatkan pembangunan insan, identiti dan keyakinan generasi muda.
“Di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, kita sedang bergerak ke arah menjadi wilayah maju dan berpendapatan tinggi sambil memastikan keterangkuman dan kelestarian terus dipelihara namun pembangunan ekonomi sahaja tidak mencukupi, malah kita mesti melabur dalam rakyat dan bakat kita.
“Masa depan Sarawak bergantung kepada sejauh mana kita memupuk generasi muda termasuk artis, pereka, pemuzik, pencipta kandungan, usahawan dan pencipta inovasi.
“Bakat Sarawak mampu mencapai perkara lebih besar apabila diberikan peluang dan sokongan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Kho Teck Wan sempena Majlis Perasmian ARTPOP 2.0 2026, di sini, pada Sabtu.
Datuk Amar Dr Sim menambah, platform seperti ARTPOP membuka peluang kepada golongan muda untuk mengembangkan kreativiti, membina jaringan kerjasama dan mengetengahkan bakat mereka ke peringkat lebih tinggi.
Ujarnya, ramai usahawan muda, jenama tempatan, pencipta kandungan dan kumpulan komuniti mengambil bahagian secara aktif dalam penganjuran tahun ini yang menggabungkan seni, fesyen, makanan, muzik, gaya hidup dan identiti tempatan dalam satu pengalaman yang inklusif.
Sementara itu, Kho memberitahu, satu inisiatif seperti Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kepada usahawan tempatan akan diperkenalkan tidak lama lagi.
Namun begitu ujarnya, ia memerlukan penglibatan daripada golongan usahawan dan kumpulan perniagaan supaya setiap inisiatif serta sokongan yang diberikan benar-benar berdasarkan keperluan mereka, dan bukan sekadar bantuan secara umum semata-mata.
“Semua itu sedang dalam perancangan dan akan dilaksanakan, jadi saya berharap semua pihak dapat memberikan sedikit masa dan bersabar,” jelas beliau.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang. -EDISI UKAS