Kerajaan Sarawak Terus Perkasa Pendidikan Tinggi Anak Negeri
SARIKEI: Kerajaan Sarawak terus komited dalam memperkasa sektor pendidikan melalui pelbagai inisiatif bagi memastikan lebih ramai anak negeri berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, antara inisiatif utama ialah pelaksanaan pendidikan tinggi percuma bermula tahun 2026 di institusi milik kerajaan negeri untuk pelajar Sarawak yang layak.
Menurutnya, pelaksanaan itu melibatkan beberapa institusi termasuk Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Curtin dan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak.
Katanya, pelajar juga boleh memanfaatkan bantuan kewangan melalui Yayasan Sarawak sebanyak RM1,200 setahun.
“Bantuan lain yang turut disediakan termasuk komputer riba, baucar buku serta subsidi pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penghargaan Pelajar Cemerlang SPM 2025 di Dewan Serbaguna Kampung Seberang, Sarikei pada Sabtu.
Dato Ir Yusuf menambah, kerajaan negeri turut menyediakan subsidi tiket penerbangan menerusi program Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (iGPS) sehingga RM300 bagi setiap perjalanan.
Menurutnya, bantuan itu boleh dituntut maksimum dua kali setahun bagi pelajar Sarawak yang menuntut di luar negeri.
Tegasnya, peluang yang disediakan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak Sarawak untuk membina masa depan yang lebih baik.-EDISI UKAS