Kempen Keselamatan Berbasikal Fokus Utama KCFM 2026
KUCHING: Kempen kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan komuniti berbasikal menjadi antara fokus utama program Kuching Car Free Morning (KCFM) 2026 yang berlangsung di Kuching Waterfront pada Ahad.
Program anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu turut menampilkan acara kayuhan santai “Let’s Share The Road: Fun Ride” sejauh lima kilometer hasil kerjasama Sarawak Cycling Association dan Kuching Division Cycling Association dengan penyertaan kira-kira 100 pengayuh basikal.
Menurut Presiden Kuching Division Cycling Association, Irawan Sudarsono, program kesedaran seperti itu penting bagi mendidik komuniti berbasikal supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.
Beliau berkata, semua penunggang basikal perlu mengamalkan kayuhan secara defensif selain sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling termasuk kehadiran kenderaan lain seperti kereta dan motosikal.
“Kita juga menasihatkan semua penunggang supaya mematuhi peraturan jalan raya termasuk lampu isyarat, bulatan dan ketika melintas jalan bagi mengelakkan kemalangan antara penunggang basikal dengan pengguna jalan raya lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan pelepasan peserta yang turut disaksikan Timbalan Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Komuniti DBKU, Rudzaimeir Malek pada program tersebut.
Tambah Irawan, isu keselamatan melibatkan komuniti berbasikal bukan perkara baharu dan sering dibangkitkan dari semasa ke semasa.
Sehubungan itu, katanya, kempen kesedaran yang dilaksanakan bersama DBKU merupakan satu inisiatif berterusan dalam memberi pendidikan serta meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya mengenai aspek keselamatan berbasikal.
Selain aktiviti kayuhan santai, program tersebut turut diisi dengan pelbagai aktiviti riadah seperti aerodance, berjalan kaki dan berjoging.
Orang ramai turut memanfaatkan program “Health Awareness and Screening” oleh Normah Medical Specialist Centre yang menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pengunjung.
Dalam pada itu, Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching dengan kerjasama DBKU turut mengadakan pameran kesedaran berkaitan rabies dan demam denggi bagi meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai langkah pencegahan penyakit berjangkit serta kepentingan menjaga kebersihan persekitaran.
Program yang berlangsung dari jam 6 pagi hingga 10 pagi itu merupakan antara inisiatif DBKU dalam mempromosikan gaya hidup sihat, mengurangkan pelepasan karbon dan memperkukuh penggunaan ruang bandar secara lebih inklusif serta mesra alam.- EDISI UKAS