Pendekatan Komuniti Perkukuh Usaha Perangi Dadah Di Subis
NIAH: Pendekatan berasaskan komuniti terus diperkukuh dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah menerusi penganjuran Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) Miri 2026 yang berlangsung di Dewan Masyarakat Sepupok, Niah.
Program anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bahagian Miri itu berjaya menghimpunkan kira-kira 250 peserta melibatkan belia, komuniti setempat, SKUAD Antidadah serta wakil Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam usaha memperluas kesedaran mengenai bahaya dadah.
Majlis penutupan program tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni.
Terdahulu, pada sebelah pagi, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus telah menyempurnakan acara pelepasan konvoi bermotosikal yang disertai belia sekitar Subis bersama SKUAD Antidadah dan wakil KMKK.
Pelbagai aktiviti berbentuk advokasi dan mendekati masyarakat telah dilaksanakan sepanjang program termasuk walkabout, penyampaian mesej Pesanan Antidadah (PESADA), lawatan ke rumah klien RPDK dan golongan asnaf serta pendekatan omnipresence di sekitar Kampung Masjid dan Kampung Padang.
Pada masa sama, pelbagai aktiviti komuniti turut diadakan bagi menarik penyertaan masyarakat antaranya pertandingan melastik (slingshot), karaoke, mewarna kanak-kanak serta pertandingan membuat belacan dan ulam-ulaman.
Penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen berterusan AADK dalam memperkasakan usaha pencegahan dadah melalui penglibatan komuniti secara langsung selain memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab bersama dalam membanteras gejala dadah.-EDISI UKAS