Pertandingan Little Miss dan Mister Platform Semai Cinta Warisan Budaya
MIRI: Pertandingan Little Miss dan Mister sempena Gawai Dayak Bazaar dan Ethnocultural Festival Peringkat Negeri 2026 menjadi platform penting dalam memupuk jati diri serta kecintaan terhadap warisan budaya dalam kalangan generasi muda di Sarawak.
Ahli Dewan Negara, Senator Susan Chemerai Anding berkata, generasi muda perlu dibentuk bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan, malah kaya dengan nilai budaya agar identiti masyarakat terus kekal relevan dalam arus pemodenan.
“Dalam dunia moden ini, usaha mengekalkan bahasa, pakaian tradisional, tarian, muzik dan juga adat budaya adalah sesuatu yang sangat penting,” katanya ketika berucap merasmikan pertandingan tersebut di Bandar Baru Permyjaya, pada Sabtu.
Menurut Senator Susan, pertandingan berkenaan bukan sekadar platform memperagakan busana tradisional, sebaliknya menjadi medium penting dalam menyemai minat serta rasa bangga terhadap warisan budaya sejak usia muda.
“Melihat kanak-kanak memperagakan busana etnik dengan penuh keyakinan dan keceriaan mencerminkan usaha berterusan masyarakat dalam memastikan adat resam terus dipelihara dan dihargai.
“Anak-anak inilah yang akan menjadi pewaris kepada budaya kita pada masa hadapan. Justeru, usaha memperkenalkan bahasa, pakaian tradisional, muzik, tarian dan adat budaya sejak kecil amat penting,” ujarnya.
Beliau turut memuji komitmen ibu bapa dan penjaga yang memainkan peranan besar dalam memperkenalkan budaya serta tradisi kepada anak-anak, sekali gus memastikan kelangsungan identiti masyarakat Dayak.
Tambahnya, sokongan berterusan Kerajaan Sarawak terhadap penganjuran Gawai Dayak Bazaar dan Ethnocultural Festival membuktikan komitmen dalam memelihara kepelbagaian budaya serta memperkukuh perpaduan rakyat di negeri ini.
Seramai 16 peserta berusia antara tujuh hingga 11 tahun mengambil bahagian dengan memperagakan pakaian tradisional pelbagai etnik termasuk Iban, Bidayuh, Bisaya, Kelabit dan Kenyah.
Dalam pertandingan tersebut, Rissa Rochelle Ronney, 10, dinobatkan sebagai Little Miss manakala Little Mister dimenangi Asher Hazzel Hamphry Rangga, 11.
Kedua-duanya yang tampil dengan busana tradisional Iban membawa pulang wang tunai RM1,500, trofi, selempang, sijil dan jambangan bunga.
Naib juara Little Miss dimenangi oleh Elisha Devung Lawrence, 8, diikuti tempat ketiga Cicely Eldora Jason.
Bagi kategori Little Mister, tempat kedua dimenangi Ezra Martin diikuti Alvin Adau Spencer di tempat ketiga.–EDISI UKAS