Lebih 170 Peserta Meriahkan Gema Suara Gawai Samarahan 2026
KOTA SAMARAHAN: Program Gema Suara Gawai Samarahan 2026 berjaya menghimpunkan lebih 170 peserta sepanjang dua hari penganjurannya di The Summer Shopping Mall, sekali gus memeriahkan sambutan pra-Gawai di kawasan Kota Samarahan.
Program tersebut melibatkan dua kategori utama iaitu pertandingan Rhythmic Gawai Dances bertemakan Pra-Gawai yang disertai seramai 142 peserta dan Pertandingan Nyanyian Gema Suara Gawai Samarahan 2026 dengan penyertaan 29 peserta.
Majlis perasmian penutupan program itu telah disempurnakan oleh wakil Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang iaitu Datin Nur Hidayah Hussain.
Dalam ucapannya, beliau berkata program berunsurkan kebudayaan seperti itu bukan sahaja memeriahkan sambutan Hari Gawai, malah menjadi platform terbaik menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dalam suasana harmoni dan muhibah.
Menurut beliau, sambutan Hari Gawai merupakan antara perayaan penting di Sarawak yang mencerminkan keunikan budaya serta keharmonian rakyat berbilang kaum di negeri ini.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi ruang kepada peserta menonjolkan bakat dan kreativiti, malah mampu mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, urus setia serta semua peserta yang bersama-sama menjayakan program tersebut.
Selain itu, pihak The Summer Shopping Mall turut mengadakan pelbagai aktiviti sepanjang bulan ini sempena sambutan Hari Gawai antaranya bengkel gubahan bunga, pertandingan nyanyian, Rhythmic Gawai Dances, Bazaar Gawai, Kids Coloring Contest serta pertandingan Kumang dan Keling Gawai.
Pelbagai pengisian yang dianjurkan berjaya menarik kehadiran pengunjung selain menjadi medium mempromosikan budaya tradisional masyarakat Sarawak kepada generasi muda.
Program tersebut sekali gus membuktikan sambutan Hari Gawai terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat serta berperanan memperkukuh perpaduan komuniti menerusi aktiviti kebudayaan dan kesenian.
Turut hadir ialah wakil Pengarah Urusan The Summer Shopping Mall, Lee Xin Nee serta Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Bahagian Samarahan, Keria Jeman.- EDISI UKAS