Program RHYTHM satukan belia dan warga emas, pupuk masyarakat harmoni dan penyayang
DEBAK: Program RHYTHM – Ritma Kehidupan Harmoni berjaya menyatukan golongan belia dan warga emas menerusi pelbagai aktiviti berteraskan kesukarelawanan dalam usaha memupuk masyarakat yang lebih harmoni, prihatin dan penyayang.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata program seperti itu amat penting dalam usaha membudayakan nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, penglibatan golongan belia dalam aktiviti kesukarelawanan mampu melahirkan generasi yang lebih bertanggungjawab serta mempunyai nilai empati yang tinggi terhadap masyarakat khususnya warga emas.
“Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara generasi, malah membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan saling membantu,” katanya ketika merasmikan Program RHYTHM – Ritma Kehidupan Harmoni yang berlangsung di Dewan Millinea Debak pada Ahad.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu berkata program berasaskan komuniti seperti RHYTHM membuktikan pembangunan masyarakat tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan nilai kemanusiaan.
Beliau menegaskan bahawa elemen empati dan tanggungjawab sosial perlu diperkukuh bagi memastikan kesejahteraan masyarakat dapat dinikmati secara menyeluruh.
“Kemajuan sesebuah masyarakat bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal semata-mata, tetapi apabila masyarakat mempunyai hati yang prihatin dan tidak meninggalkan golongan yang lemah,” ujarnya.
Program tersebut turut melibatkan penyertaan enam Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dari seluruh Bahagian Betong serta penglibatan sukarelawan kebajikan dan belia di bawah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak.
Pelaksanaan program itu diharap menjadi platform berterusan dalam memperkukuh hubungan antara generasi muda dan warga emas, sekali gus membentuk masyarakat yang lebih harmoni, penyayang dan bersatu padu.-EDISI UKAS