SIBU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta kaunselor pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menjadi contoh terbaik kepada masyarakat kerana tingkah laku dan disiplin mereka mencerminkan imej kerajaan serta kepimpinan hari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil berkata jawatan sebagai penghulu, ketua kaum atau kaunselor bukan sekadar kedudukan, sebaliknya membawa tanggungjawab besar untuk menjaga maruah, akhlak dan integriti sebagai pemimpin masyarakat.
“Rakyat sentiasa memerhati tingkah laku pemimpin masyarakat. Jika kita sendiri gagal menunjukkan disiplin dan akhlak yang baik, bagaimana masyarakat mahu menghormati kita?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi townhall Parti Demokratik Progresif (PDP) bersama kaunselor PBT dan Ketua Masyarakat di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Menurut Datuk Dr Penguang, kerajaan negeri sentiasa komited memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat termasuk melalui penambahbaikan dasar melibatkan KMKK dan kaunselor.
Katanya, antara langkah yang sedang diteliti ialah menetapkan syarat minimum kelayakan akademik atau pengalaman setara sebagai asas pelantikan bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa setiap tindakan setiausaha politik, kaunselor dan ketua masyarakat akan dinilai rakyat dan memberi kesan terhadap keyakinan masyarakat terhadap kerajaan.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden PDP, Datuk Henry Harry Jinep, Naib Presiden Kanan III Dato Sri Wong Soon Koh, Naib Presiden II Friday Belik dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Joshua Ting Fu Ying.-EDISI UKAS